Anak 11 tahun masih tak bercakap, Edry berhijrah ke luar negara.

PENYANYI dan komposer Edry Abdul Halim memberitahu salah satu punca pembubaran kumpulan KRU disebabkan setiap anggotanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

Edry, 41, berkata, dia berhasrat berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan pembelajaran yang terbaik untuk anak ketiganya, Emery yang merupakan anak autisme.

“Malaysia tiada sekolah khas untuk austisme dan anak ketiga saya itu sudah nak masuk 11 tahun namun masik belum boleh bercakap. Cikgu di sekolahnya suruh kami hantar ke sekolah lain.

 

KRU dianggotai Edry (dari kiri), Datuk Norman dan Yusry. FOTO: LOW LAY PHON

 

“Anak saya tidak boleh bercakap lagi. Perkara itu buat saya berfikir bahawa saya gunakan banyak masa ajar orang menyanyi tapi anak sendiri masih tak boleh bercakap.

“Penghijrahan itu untuk anak-anak,” ujarnya kepada mStar Online

Edry ditemui pada sidang media tergempar konsert Gergasi KRU25 yang diadakan di Impiana KLCC, pada Rabu.

Edry mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohammed pada November 1999 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Emil, Edylia, Emery dan Elya.

 

KRU dibubarkan selepas 25 tahun bersama.

 

Tambah Edry, dia merancang untuk ke Eropah lepas Hari Raya Aidilfitri bagi mencari sekolah paling sesuai untuk anaknya itu.

“Sepatutnya sehari selepas konsert kami akan ke Eropah tapi terpaksa ditangguhkan mungkin selepas hari raya nanti.

“Insya-Allah kita cuba setahun dahulu dan tengok perkembangan sama ada dia boleh terima atau tidak,” ujarnya.

Sementara itu, tambahnya, dia juga berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang tertentu untuk pencapaian dirinya.

 

Edry bersama anaknya Emery yang merupakan kanak-kanak istimewa. Foto dari Instagram Edry.

 

Katanya, ia merupakan hasrat yang tertangguh selepas menceburkan diri dalam bidang seni seawal usia 16 tahun.

“Saya nak sambung belajar kerana itu impian saya yang tidak tercapai. Dulu saya sibuk menyanyi sejak umur 16 tahun dan hanya ambil Sijil Pelajarann Malaysia (SPM) sahaja,” ujarnya.

Sebelum itu, KRU yang dianggotai oleh tiga adik beradik iaitu Datuk Norman, Yusry dan Edry mengumumkan untuk membubarkan kumpulan yang dibina sejak 25 tahun lalu.

Konsert Gegarsi 25 KRU yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Mei depan di Istana Budaya merupakan penampilan terakhir mereka sebagai penyanyi berkumpulan.

Sumber: mstar

 

Artikel berkaitan:

 

Tiga beradik akhirnya bubar KRU selepas 25 tahun ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular KRU yang dianggotai oleh tiga adik beradik iaitu Datuk Norman, Yusry dan Edry mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas konsert terakhir mereka yang bakal berlangsung pada 6 Mei ini.

Ketua kumpulan itu, Norman berkata, keputusan tersebut merupakan kata sepakat di mana ketiga-tiga mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing.

“Kami mengumumkan bahawa konsert Gergasi KRU25 adalah penampilan terakhir daripada kami. Selepas konsert yang berlangsung selama tiga hari ini ia dibubarkan secara rasmi.

 

Norman (tengah) tidak dapat menahan sebak mengumumkan pembubaran KRU. FOTO: LOW LAY PHON

 

“Manakala single Tahan Lama yang akan berduet bersamaa Joe Flizzow merupakan single terakhir kami,” ujarnya.

Beliau ditemui pada sidang media konsert Gergasi KRU25 yang diadakan di Impiana KLCC pada Rabu.

Konsert berkenaan bakal diadakan selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya pada 4 hingga 6 Mei depan.

Dalam pada itu, Norman yang menitiskan air mata pada pengumuman itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah memberi sokongan kepada kumpulan tersebut sepanjang 25 tahun.

Bagaimanapun, entiti KRU sebagai sebuah syarikat media dan hiburan akan tetap berterusan dan beroperasi seperti biasa.

 

Tiga beradik sepakat bubarkan KRU.

 

“Saya memgucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya kami selama 25 tahun dalam industri muzik tanah air,” ujarnya.

Sementara itu, Edry berkata, dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan anak-anak.

“Ini keputusan semula jadi yang semamngnya sudah tiba masanya untuk kami berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga pula. Saya juga ada anak-anak yang perlu perhatian,” ujarnya.

 

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*