Kisah “Sejadah Kuning Kelantan”, Semua Orang Pandang Saya Termasuk Tok Imam Macam Salah Besar Sebab Solat Atas “Sejadah Kuning”.. Saya Cuba Berundur Namun….

Sultan Kelantan Dan Agong Kita Yang Zuhud Dan Berjiwa Rakyat

 

Masya Allah!! Perkongsian hebat dari seorang warga Kelantan, Wan Norhaziki Wan Halim:

Suatu hari ketika saya di tingkatan tiga, saya ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk mendirikan solat Jumaat.

 

Di dalam masjid, saya berasa hairan kerana para jemaah tidak berani menduduki beberapa helai sejadah kuning yang dihamparkan di belakang sejadah imam.

 

Tanpa mempedulikan orang lain, saya terus bersolat tahiyyatul masjid di atas sehelai sejadah kuning bersebelahan sehelai sejadah kuning empuk yang paling istimewa.

 

Ketika beri’tikaf, saya mula menyedari bahawa diri saya sedang diperhatikan oleh orang ramai termasuk tuan imam.

 

Tidak lama kemudian, beberapa individu berbaju Melayu kuning bersamping datang ke arah saya lalu duduk di atas sejadah-sejadah kuning berkenaan.

 

Baru saya menyedari bahawa Sultan Kelantan (Sultan Ismail Petra) duduk betul-betul di sebelah kiri saya di atas sejadah empuk tadi.

 

Ketika itu, saya mula rasa bersalah dan bertekad hendak mundur ke saf belakang kerana menyedari bahawa sejadah yang saya duduki di sebelah baginda sultan itu telah dikhaskan untuk seorang individu.

 

Ketika saya cuba berundur ke belakang, seorang pemuda yang saya yakini merupakan pemilik sejadah tersebut menghalang saya dari berundur dan beliau duduk bersebelahan saya.

 

 

Ketika bersalaman dengannya, beliau menghadiahkan senyuman manisnya kepada saya. Hari ini pemuda tersebut telah bergelar ‘Sultan’ bagi Negeri Serambi Mekah.

 

Jika dahulu semasa bergelar ‘Raja Muda’ baginda pernah membenarkan sejadahnya dipijak oleh saya, hari ini pula setelah bergelar ‘Sultan’ baginda telah membenarkan mahligainya diinapi oleh ribuan rakyatnya untuk berqiyamullail.

 

First time dalam malaysia pintu istana dibuka untuk rakyat jelata bukan untuk menerima anugerah, tapi untuk menyembah Raja kepada segala raja.

 

Artikel selanjutnya dipetik dari Malaysian Digest, Bersempena dengan pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-15, Malaysian Digest mendedikasikan artikel ini untuk Yang Dipertuan Agong baharu kita. Semoga memberi Manfaat untuk semua..

 

Sultan Muhammad V: Raja Yang Alim, Merendah Diri & Berjiwa Rakyat

 

Selepas dipilih untuk menggantikan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah sebagai Yang Dipertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 243 pada Oktober 2016, negara kita menyambut pelantikan Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra atau lebih dikenali dengan nama takhtanya Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong ke-15, dan melafazkan angkat sumpah jawatan pada 13 Disember 2016.

 

Hari ini, pada tarikh yang diperkenankan oleh Tuanku sendiri, serentak dengan tarikh salah satu peristiwa kebesaran Islam, iaitu Israk Mikraj (peristiwa Nabi Muhammad diangkat ke langit), Tuanku Sultan Muhammad V akan ditabalkan di dalam satu upacara penuh adat istiadat yang akan bertempat di Balairong Seri, Istana Negara. Istiadat ini akan disiarkan secara langsung oleh RTM.

 

 

Upacara bersejarah ini akan menampilkan adat Diraja Melayu yang berusia berkurun lamanya, yang akan diiringi pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja. Tuanku akan memakai persalinan khas Diraja yang dipanggil ‘muskat’, tengkolok Diraja, pending Diraja, dan Datuk Paduka Maharaja Lela akan mempersembahkan Al-Quran sebagai simbolik Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negara ini dan Keris Panjang Kerajaan sebagai simbol kekuasaan – yang akan dicium oleh Tuanku atau dijulang.

 

Di samping itu, terdapat persembahan istimewa secara langsung oleh kumpulan muzik tradisional ‘Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan’ yang kebiasaannya akan membuat persembahan di majlis-majlis rasmi di Istana Kelantan yang mana menurut penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini, persembahan pasukan Gendang ini mengangkat status atau daulat Tuanku sebagai Ketua Negara.

 

Pertabalan Tuanku Sultan Muhammad V akan dihadiri oleh orang-orang kenamaan, Sultan Brunei, dan wakil-wakil serta duta-duta negara asing di negara ini. Majlis akan disudahi dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ dan majlis Jamuan Negara pada sebelah malamnya untuk tetamu-tetamu kenamaan di Dewan Bankuet, Istana Negara.

 

Bersempena dengan pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-15, Malaysian Digest akan mendedikasikan artikel ini untuk Yang Dipertuan Agong baharu kita.

 

Raja Rakyat

Sultan Muhammad V dilahirkan di Kota Bharu pada 6 Oktober 1969 dan merupakan anak sulung dari 4 beradik. Ayahanda baginda adalah mantan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan bonda baginda Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. Sultan Kelantan ke-28 ini mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1 dan Kuala Lumpur Alice Smith International School, dan kemudiannya menyambung pengajian di dalam bidang Diplomatik di Pusat Pengajian Islam Oxford, Kolej St Cross di Oxford dan Huron University College di London.

 

Sultan Muhammad dikenali sebagai Sultan yang sangat rapat dengan rakyatnya. Dalam kebanyakan kes, baginda sememangnya sentiasa merendah diri sejak zaman remaja lagi, walaupun lahir di dalam keluarga diraja.

 

 

Ketika Kelantan dilanda banjir besar tahun 2014, Sultan Muhammad turun ke kawasan banjir untuk membantu rakyatnya, mengenepikan protokol dan pengiring. Baginda berpakaian seperti rakyat biasa dan mengambil arahan dari seorang Mejar di dalam satu operasi banjir. Pada satu tahap, seorang individu menyangka Tuanku adalah rakyat biasa kerana penampilannya dan terkejut apabila mendapat tahu itu adalah Sultan Muhammad V.

 

 

Tuanku menunjukkan bakat kempimpinan sejak dari sekolah lagi. Kamarulzaman Hassan, 72, bekas guru sejarah dan geografi Tuanku, berkata Tuanku adalah murid yang pintar. Beliau masih ingat yang Tuanku sangat berdisiplin, tidak banyak bercakap dan tidak suka bermain. Apabila baginda berada di dalam darjah 5 dan 6, baginda dipilih sebagai ketua pengawas dan menyertai aktiviti pengakap.

 

Sultan Muhammad V juga dikenali sebagai seorang yang tidak begitu mementingkan protokol. Baru-baru ini, ketika merasmikan pembukaan parlimen yang ke-13, baginda dengan selamba menghentikan ucapan sebentar, membuka penutup botol air dan meneguk untuk menghilangkan dahaga. Baginda juga mengambil berat mengenai kebajikan rakyatnya, bergaul dengan mereka di masjid, melawat hospital, kampung-kampung dan di majlis-majlis rasmi.

 

Raja Yang Begitu Merendah Diri

Bagi Chan Khek Jun, seorang usahawan dari Kota Bharu dan sahabat lama Sultan Muhammad V, beliau bangga kerana Tuanku adalah pelanggan tetap di restorannya.

 

Chan menguruskan restoran ‘Four Seasons’ di Kota Bharu yang telah beroperasi sejak tahun 1998.

 

“Baginda akan datang makan di sini dalam 2 atau 3 kali sebulan, jika baginda berada di Kota Bharu. Baginda gemar datang selepas solat isyak, bersama-sama dengan kerabat diraja yang lain dan rakan-rakan baginda,” imbas Chan kepada Malaysian Digest berkenaan kekerapan baginda ke restoran beliau Four Seasons.

 

Chan sudah begitu selesa dengan Tuanku sehingga mereka kini boleh bergurau antara satu sama lain. Apabila berbual dengan Tuanku, mereka akan menggunakan loghat Kelantan, atau menggunakan bahasa Inggeris dan menurut Chan, Tuanku juga tidak meminta dipanggil dengan panggilan diraja yang lain, cukuplah dengan panggilan ‘Tuanku’. Ini membuatkan Chan merasa lebih dekat dengan Sultan Muhammad V.

 

Beliau tidak akan lupakan peristiwa pada satu malam di mana Sultan Muhammad V telah berangkat ke restorannya tanpa pengetahuan beliau tapi malangnya, restoran beliau penuh pada malam itu.

 

“Restoran penuh pada malam itu, bilik VIP pun penuh. Apabila Tuanku tahu mengenainya, baginda memohon maaf kerana tidak membuat tempahan dan beredar. Saya rasa tidak baik apabila mengenangkan peristiwa malam itu,” menurut Chan.

 

Sekarang, baginda akan membuat tempahan sebelum datang dan setiap kali Tuanku berangkat ke restorannya, Chan akan menyediakan bilik VIP supaya Tuanku boleh bersantap dengan tenang. Walaubagaimanapun menurut Chan, Tuanku tidaklah pula bertitah mahukan kutleri khas, susunan meja yang lain atau protokol yang spesifik.

 

Memetik satu laporan dari Bernama, Sultan Muhammad V gemarkan ikan seperti kod, kerapu dan siakap, dimasak secara kukus dengan kicap cair, selain dari burung unta masak lada hitam, daging rusa sizzling, udang dimasak di dalam susu segar, mantou, lempeng tiram dan bayam dimasak dengan telur masin. Jus halia adalah jus kegemaran baginda.

 

Chan juga memberitahu beliau bersahabat dengan Tuanku dari zaman muda mereka.

 

“Saya sudah mengenali Tuanku sebelum saya membuka restoran lagi dan ketika Tuanku masih lagi bergelar Tengku Mahkota Kelantan. Kami dah bersahabat selama 20 tahun,” menurut Chan yang menambah mereka menjadi semakin rapat apabila kerap melakukan aktiviti luar seperti bermain golf dan kapal terbang kawalan jauh.

 

Sebagai rakyat Kelantan dan seorang sahabat, Chan berharap Tuanku akan memerintah Malaysia dengan adil, saksama dan terus mengekalkan sifat rendah diri baginda yang menjadikan baginda begitu disayangi oleh rakyat jelata.

 

Kami kemudian menemubual Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar. Beliau kemudiannya berkata betapa beliau terharu dengan sifat terpuji Tuanku.

“Baginda selalu berangkat ke daerah Tumpat untuk menghadiri majlis di sini. Baginda akan menghadiri program di masjid, berbuka puasa ketika bulan Ramadhan,” imbas Kamaruddin.

 

Mengimbau kembali satu majlis pada tahun 2015 apabila Sultan berangkat ke Masjid Al-Ismaili di Pasir Pekan untuk sambutan Maulidur Rasul, Kamaruddin menyebut Tuanku menyertai setiap acara yang dianjurkan seperti solat berjemaah Maghrib dan Isyak dengan masyarakat setempat, dan berselawat untuk Nabi Muhammad S.A.W.

 

Kamaruddin juga memuji penampilan ringkas Tuanku yang sekali imbas tidak ubah seperti rakyat biasa. Contohnya ketika baginda berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negara pada Disember lepas, baginda hanya mengenakan jubah dan memakai kopiah.

 

 

Baginda sering ke Tumpat untuk menyampaikan penghargaan kepada pemimpin masyarakat setempat dan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

 

“Sifat baginda yang sederhana membuatkan rakyat selesa dengan baginda,” jelas Kamaruddin.

 

Kamaruddin berharap apabila Tuanku menduduki takta persekutuan, baginda akan menyebarkan kebaikan baginda kepada seluruh rakyat Malaysia dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat di dalam masa yang menduga ini, dengan stiuasi ekonomi yang tidak menentu, selain dari keadaan politik tempatan dan antarabangsa.

 

“Baginda memainkan peranan yang besar untuk menghidupkan kembali keyakinan rakyat terhadap negara ini,” simpul Kamaruddin.

 

Khairul Fahmi Che Mat, penjaga gol pasukan Kelantan dan Kebangsaan, sangat bersetuju dengan keperibadian rendah diri Sultan Muhammad V.

Walaupun populariti beliau melebihi negeri kelahirannya, dan sebagai pemain bolasepak yang disegani, Khairul Fahmi berkongsi bagaimana beliau terharu dengan sifat merendah diri Sultan Muhammad V.

 

 

“Tuanku selalu ke masjid, malah ke masjid di kawasan pedalaman Kelantan tanpa ditemani ramai pengiring,” menurut Khairul Fahmi. Sekali sekala Tuanku akan berangkat menunaikan solat jumaat di masjid Al-Ismaili berdekatan dengan kampungnya walapun menurut Khairul Fahmi, beliau hanya melihat Tuanku dari jauh.

 

Khairul Fahmi mengimbas kembali pertemuan beliau dengan Sultan apabila beliau dianugerahkan pingat oleh Sultan Muhammad V.

 

Sebagai penjaga gol terbaik, beliau dan 8 lagi pemain Kelantan dianugerahkan ‘Pingat Setia Mahkota Kebangsaan (PS)’ semasa hari keputeraan Tuanku ke-43 pada 11 November 2012, atas sumbangan beliau dan rakan-rakan memenangi ‘treble’ untuk Kelantan di dalam siangan Liga Malaysia.

 

“Kali pertama bertemu Tuanku, saya fikir Tuanku adalah orang yang sangat tegas. Dan kerana kedudukannya sebagai Sultan, saya menjadi takut untuk berdepan dengan Tuanku pada hari tersebut.”

 

“Tetapi sejak dari hari itu, persepsi saya pada Tuanku telah berubah. Tuanku sangat merendah diri dan mesra,” menurut penjaga gol Malaysia itu.

 

Menjelang pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong, Khairul Fahmi ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Sultan Muhammad dan semoga sepanjang pemerintahan baginda, Malaysia akan terus makmur, maju dan harmoni.

 

Insan Contoh Untuk Semua Rakyat Kelantan Dan Malaysia

“Kita mengenali Tuanku sebagai sultan yang tidak terlalu mengikuti protokol. Baginda ke masjid setiap hari untuk bersolat tanpa pengiring dan pengawal peribadi, dan kebanyakan masa, orang ramai sendiri tak sedar yang itu adalah sultan,” ujar Johari Yap, pelajar Doktor falsafah, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

 

Sultan Muhammad V sangat dikenali sebagai seorang yang begitu patuh dengan ajaran Islam. Banyak masjid di Kelantan telah dikunjungi Sultan Muhammad V untuk solat Jumaat, dan tidak pelik apabila baginda sering bersolat jemaah bersama-sama dengan rakyat.

 

Jika Tuanku mencemar duli berangkat ke majlis pada waktu siang, baginda akan menitahkan supaya majlis bermula selepas waktu solat Zohor supaya baginda boleh menunaikan solat dahulu. Malah laungan tradisi ‘Daulat Tuanku’ untuk baginda telah ditukar oleh baginda kepada laungan ‘Allahu Akhbar’ yang bermaksud Tuhan Maha Besar.

 

 

“Julai lepas, pada bulan puasa, saya telah menghadiri majlis ‘Qiam Bersama Saya’ di sebuah masjid iaitu ibadah solat lewat malam bersama-sama dengan Tuanku, keluarga baginda dan pegawai kerajaan negeri.

 

“Sesudah selesai solat sunat terawikh, jemaah akan bersalaman antara satu sama lain dan anak saya berjaya bersalam dengan Tuanku tetapi anak saya tak kenal siapa Tuanku ketika itu. Saya terpaksa memberitahu dia yang dia telah bersalam dengan orang yang sangat penting,” imbas Johari tentang penampilan Sultan yang sangat merendah diri yang tidak boleh dibezakan dengan orang kebanyakan yang lain, yang pada Johari sangat wajar dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia.

 

Walaupun baginda seorang yang alim, baginda gemar bergaul dengan rakyatnya di dalam aktiviti luar. Selain aktiviti ‘Qiam With Me’, Johari berkata Sultan juga menyertai ‘Let’s Go With Me’, satu acara walkathon yang diadakan Oktober lepas di mana orang ramai boleh berjalan kaki bersama dengan Sultan Muhammad V di laluan sepanjang 7 kilometer di sekeliling Kota Bharu.

 

Johari kemudian mengimbas kembali saat Tuanku berangkat ke Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertuan Agong, ramai rakyat Kelantan beratur di sepanjang jalan dari Istana Negeri, Kubang Kerian ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk melambai dan mengucapkan selamat tinggal kepada Sultan kesayangan mereka.

 

Memetik Bernama, lebih dari 11,000 rakyat telah menunggu sejak pukul 7 pagi di laluan sepanjang 14 kilometer, dan persembahan tradisional dari pelbagai kaum diadakan di 11 lokasi berbeza.

 

“Bukan setakat orang Melayu, orang Cina dan India juga turut sama-sama mengucapkan tahniah kepada Sultan. Kaum Cina mempersembahkan tarian Singa dan kami berasa begitu gembira dengan hari bersejarah itu. Kami bersorak apabila Tuanku melambaikan tangan dari dalam kereta,” ujar Johari sambile mengimbas kembali hari bersejarah itu.

 

Seorang Muslim Yang Baik

Seperti yang disebutkan oleh mereka yang ditemuramah sebelum ini, Sultan Muhammad V adalah seorang yang alim dan selalu ke masjid, bersolat 5 waktu sehari.

 

Di bandar kelahiran baginda Kota Bharu, baginda sering ke Masjid Muhammadi yang menjadi mercu tanda bandar itu sejak tahun 1867 dan telah menjadi saksi kepada pemerintahan sultan-sultan sebelum ini. Walaubagaimanapun, setelah naik takhta persekutuan pada Disember lepas, baginda telah jarang dilihat di ke masjid kerana baginda kini bersemayam di Kuala Lumpur.

 

“Tuanku tiada jadual spesifik untuk ke masjid kita kerana itu terpulang kepada Tuanku bila waktu yang sesuai baginda mahu berangkat, tanpa terikat dengan protokol rasmi. Selain solat 5 waktu, Tuanku juga gemar mendengar kuliah selepas solat Maghrib.” menurut Ustaz Rosli Che Soh, imam masjid sejak tahun 2011.

 

Rosli kemudian mendedahkan yang di masjid itu terdapat kamar diraja khas untuk Sultan Muhammad V jika baginda mahu bersendirian ketika khubtah dibacakan, juga bilik air untuk baginda.

 

Istana sangat mengambil berat soal keselamatan Sultan Muhammad V di dalam mana-mana perjalanan baginda maka baginda melantik seorang pengawal diraja untuk ditempatkan di masjid tempat Rosli bertugas sepanjang masa, sekiranya baginda kebetulan ke masjid tersebut untuk bersolat. Pengawal itu akan memaklumkan kepada Rosli dan jawatankuasa masjid sekiranya Sultan Muhammad V akan singgah di masjid itu.

 

“Setiap kali Tuanku datang, baginda hanya berpakaian yang sama seperti jemaah lain dan baginda gemar menunaikan solat sunat, selain solat fardhu.

 

“Sebagai contoh, selepas selesai berjemaah Isyak, baginda akan terus bersolat sunat berbanding dengan kebiasaan bersalaman selepas selesai Isyak. Selepas selesai solat sunat, barulah Tuanku akan bersalaman dengan jemaah yang lain,” ujar Rosli yang berpendapat itu adalah amalan Sultan Muhammad V yang boleh diikuti oleh semua umat Islam.

 

 

Untuk Haji Jaafar Kaimi, nazir Masjid Al-Amin, Kem PGA Briged Tengah, Cheras, interaksi seketika beliau dengan baginda meninggalkan kesan yang sangat mendalam.

 

“Baginda baru selesai menembak di lapang sasar kem ini dengan pasukan polis. Habis menembak, waktu Maghrib semakin hampir. Maka Tuanku pun bergegas ke masjid ini untuk bersolat.

 

“Tuanku sangat menjaga wudhuknya. Apabila saya ingin menunjukkan tempat berwudhuk, baginda memaklumkan yang wudhuk solat Asarnya masih sah. Kebiasaanya orang biasa sendiri pun terlupa jika wudhuk kita masih sah. Jadi melihatkan Tuanku begitu menjaga wudhuknya, bagi saya itu adalah sangat terpuji,” puji Jaafar.

 

 

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, Sultan Muhammad V memandu sendiri ke lapang sasar itu, dengan berpakaian kemeja polo putih dan berseluar jeans. Selesai bersolat maghrib, baginda bersalaman dengan jemaah di dalam masjid.

 

“Tuanku adalah Sultan yang sangat rapat dengan rakyat dan rakyat begitu menyayanginya,” demikian simpul penjaga masjid itu.

 

Sedang kita menyaksikan istiadat pertabalan pemerintah tertinggi negara ini, adalah diharapkan kesemua rakyat Malaysia akan mula mengenali dan menyayangi Sultan Muhammad V yang menjadi kesayangan rakyat Kelantan. Semoga baginda terus menyatukan rakyat Malaysia dan semoga negara kita terus maju dan makmur di bawah pemerintahan baginda.

 

Semoga Allah merahmati Tuanku.

 

Allahuakbar!

 

Sumber : babab.net

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*